KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara akan menerima rawatan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Terdahulu beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam selepas mengadu mengalami sakit akibat alahan ubat darah tinggi.
Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan hari ini kepada tarikh lain memandangkan bekas Perdana Menteri itu akan ditahan di IJN untuk beberapa hari.
Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya mengetahui mengenai perkara itu pada pagi ini.
“Yang Arif, pagi ini saya telah dimaklumkan bahawa anak guam saya akan menjalani beberapa ujian sekitar jam 7.30 pagi dan 9.30 pagi ini, mungkin akan ada lagi ujian dan pemeriksaan dilakukan dalam beberapa hari ini.
“Namun kami tidak dimaklumkan berapa lamakah masa akan diambil (untuk) melakukan untuk ujian-ujian ini,” katanya di hadapan Collin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu, pihaknya tidak membantah berhubung penangguhan prosiding yang sepatutnya disambung dengan saksi ke-37, R Uma Devi dari Ambank memberi keterangan pada pagi ini.
Collin kemudian membenarkan penangguhan sehingga petang esok sebelum mahkamah membuat keputusan berhubung tarikh perbicaraan.
Semalam anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, doktor mengesan beberapa ulser dalam perut bapanya dan berlaku pendarahan ketika Ahli Parlimen Pekan itu mendapat rawatan di HKL.
Katanya, tekanan darah bapanya terlalu tinggi yang mungkin disebabkan pertukaran ubat.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Najib diberikan jenis ubat yang sama seperti sebelum ini ketika beliau menerima rawatan di HKL, dan ubat diberikan berada dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan.
Jelas Dr Noor Hisham, bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) bagi memastikan kesihatan beliau berada pada tahap baik dan optimum, dan hospital itu turut mengadakan sidang keluarga dua kali, yang dihadiri Najib dan ahli keluarganya.