KUALA LUMPUR: Kebersamaan dan solidariti para penyokong amat dihargai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anak beliau, Datuk Nazifuddin Najib juga berkata bahawa Najib amat menghargai semangat luar biasa yang ditonjolkan penyokongnya terhadap Himpunan Solidariti yang akan diadakan Isnin depan.
“Kesungguhan ini mencerminkan keutuhan kita sebagai sebuah parti dan kesetiaan kita terhadap perjuangan. Insya-Allah, dengan doa dan usaha bersama, kita akan melihat kejayaan yang diredhai.
“Mohon teruskan semangat ini dan sahkan kehadiran sebaik mungkin bagi penyelarasan yang lebih lancar.
“Terima kasih sekali lagi atas komitmen anda semua. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita,” katanya.
Nizar, yang juga Ketua Bahagian UMNO Langkawi memberitahu Najib bahawa segala persiapan untuk solidariti tersebut telah digerakkan termasuk penyediaan bas, kereta dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.
Terdahulu penganjuran Himpunan Solidariti yang akan diadakan pada Isnin ini di Istana Kehakiman Putrajaya dikatakan hanya melibatkan ahli-ahli UMNO sebagai tanda sokongan.
Ia juga bagi mengenang jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.
Bagaimanapun beberapa parti politik lain juga dikatakan akan menyertai Himpunan Solidariti Najib itu, termasuk PAS dan Bersatu.
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.