KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Hakim bicara, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib hanya sekadar ‘dengar cakap’ sahaja.
Ia juga merangkumi afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Terdahulu Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.
Perkembangan itu juga turut dimuatnaik laman Facebook rasmi Najib.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.