Najib Failkan Permohonan Supaya Tun Maimun Tarik Diri

 

 

 

PUTRAJAYA: Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mempengerusikan prosiding akhir rayuan sabitan kes SRC International.

 

Perkara itu dikemukakan pada prosiding di Mahkamah Persekutuan yang bermula jam 9.40 pagi tadi.

 

Hisyam, ketika memaklumkan perkara itu berkata, permohonan itu telah dilakukan selepas pihaknya mendapat ‘maklumat tertentu’ pada saat-saat akhir dan ia bagi memastikan anak guamnya mendapat keadilan melalui prosiding rayuan akhir.

 

“Kami telah mendapat arahan untuk memfailkan permohonan ini, ia dilakukan oleh kami dengan rasa hormat berdasarkan isu perundangan,” katanya.

 

Tun Maimun kemudiannya menyoal Hisham sama ada beliau akan berhujah lisan berhubung rayuan akhir berhubung sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadap Najib.

 

Hisyam berkata beliau tidak akan mengemukakan sebarang hujahan kecuali berkaitan isu perwakilan.

 

Ujarnya adalah lebih baik menunggu terlebih dahulu keputusan permohonan mereka sebelum memulakan hujahannya.

 

Namun Tun Maimun tidak membenarkan permohonan itu sebaliknya berkata, hujahan boleh diteruskan sementara menunggu keputusan.

 

Panel hakim akan meneliti terlebih dahulu salinan permohonan yang telah dikemukakan oleh Najib semalam dan Mahkamah ditangguhkan sementara waktu.

BBerkaitan

Latest articles