Najib Dibenarkan Ke Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR: Meskipun Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada kebenaran pihak penjara.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam pada itu menambah ini kerana bekas perdana menteri itu masih menjadi Ahli Parlimen.

Kelayakan itu, ujarnya hanya akan ditarik balik selepas permohonan pengampunan yang dipohon Najib ditolak.

“Ia bukan di bawah bidang kuasa saya, Jabatan Penjara ada kuasa terhadapnya beliau maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) dan Khalid Samad (PH-Shah Alam) mengenai status bekas perdana menteri itu.

Azhar menambah, setiap Ahli Parlimen berhak datang ke sidang Parlimen tanpa memerlukan kebenarannya.

Untuk rekod, pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Namun, Perkara 48(4)(c) pula memperuntukkan jika petisyen pengampunan difailkan Ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen itu hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.

BBerkaitan

Latest articles