Najib Dibenar Cabar Titah Adendum

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan untuk mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Ini berdasarkan keputusan majoriti 2-1 yang diperolehi Mahkamah Rayuan oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.

Azizah menolak permohonan pemohon untuk mengemukakan bukti baharu, manakala keputusan majoriti membenarkan bukti tersebut dan mengembalikan kes ke Mahkamah Tinggi untuk didengar semula oleh hakim baharu.

Dalam keputusan minoriti, Azizah menegaskan bahawa kuasa mahkamah untuk menerima bukti baharu tertakluk kepada Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan serta ujian yang ditetapkan dalam kes Ladd V. Marshall.

Berdasarkan kes Ladd V. Marshall yang telah digunapakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Laos melawan Kerajaan Malaysia, Lord Denning menetapkan bahawa tiga syarat mesti dipenuhi untuk menerima bukti baharu.

Azizah berpendapat bahawa pemohon gagal membuktikan bahawa bukti tersebut tidak dapat diperoleh lebih awal, kerana pemohon kerap mengadakan mesyuarat dengan Sultan Pahang dan memperoleh perintah adendum beberapa bulan selepas keputusan Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa permohonan untuk mengemukakan bukti baharu ini tidak mempunyai merit dan harus ditolak,” ujarnya.

Sementara itu, keputusan majoriti Hakim yang dibaca Mohd. Firuz pula berpandangan bahawa pemohon telah memenuhi ujian yang ditetapkan dalam kes Ladd V. Marshall, sekaligus membolehkan bukti baharu diterima dalam prosiding ini.

Mereka menyatakan bahawa pemohon telah mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan bukti sebelum memfailkan permohonan, termasuk menulis kepada enam responden untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan perintah Addendum.

Namun, responden tidak pernah memberikan sebarang jawapan terhadap surat tersebut.

Panel hakim juga mengambil maklum bahawa pemohon memperoleh salinan perintah adendum daripada Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 17 Ogos 2024, dengan arahan bahawa dokumen itu tidak boleh digunakan tanpa izin Sultan.

Pemohon juga kemudian memperoleh keizinan Sultan pada 2 Disember 2024 sebelum mengemukakan dokumen itu ke mahkamah.

Tiada bukti balas daripada responden yang mencabar kewujudan atau keaslian perintah Addendum.

“Kegagalan responden untuk mencabar kewujudan dokumen ini menunjukkan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikannya begitu sahaja,” jelas hakim majoriti.

Keputusan majoriti hakim memutuskan bahawa kes ini perlu didengar semula di Mahkamah Tinggi dengan mempertimbangkan bukti baharu yang telah diterima.

Sementara itu, Peguam Utama yang mewakili Najib, Tan Sri Mohd Shafee Abdullah memohon agar kes ini didengar di hadapan hakim baharu kerana hakim sebelum ini telah membentuk pendapatnya terlebih dahulu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan 13 Januari 2025 sebagai tarikh pengurusan kes di hadapan hakim baharu.

Selain itu, permohonan tambahan pihak pemohon untuk memfailkan semula dokumen berkaitan kes ini telah ditolak, kerana semua dokumen yang diperlukan telah pun dikemukakan.

BBerkaitan

Latest articles