KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini mencadangkan kerajaan meningkatkan peruntukan kepada golongan bukan Bumiputera kepada 10 peratus daripada keseluruhan dana yang diagihkan kepada Bumiputera di negara ini.
Mengambil contoh Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Bumiputera menerima peruntukan sebanyak RM11.4 bilion, manakala bukan Bumiputera hanya menerima tiga peratus atau RM345 juta.
Malah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata beliau pernah meminta penjelasan daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung jurang ketara dalam agihan peruntukan mengikut kaum.
Beliau berpendapat bahawa cadangan kenaikan peratusan untuk bukan Bumiputera ini sejajar dengan prinsip Kerajaan Perpaduan yang menekankan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Saya menyokong sebarang jumlah yang diberikan bagi membantu kaum Bumiputera, tetapi saya mencadangkan agar peruntukan kepada bukan Bumiputera dinaikkan daripada tiga peratus kepada 10 peratus.
“Sebagai contoh, jika RM12 bilion diperuntukkan kepada Bumiputera, maka 10 peratus atau RM1.2 bilion harus diberikan kepada bukan Bumiputera,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Lim, yang juga Pengerusi DAP, turut menyatakan sokongannya terhadap RUU yang memperuntukkan RM20.2 bilion serta tambahan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM2.3 bilion. Menurutnya, prosedur ini adalah kebiasaan bagi memastikan akauntabiliti dalam proses belanjawan, terutama bagi perbelanjaan luar jangka.
Beliau turut mengulas ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta kelembapan pertumbuhan ekonomi China, yang merupakan rakan dagang utama Malaysia.
“Ekonomi sebelum ini dilihat lembab. Pada Januari lalu, harga eksport negara hanya meningkat 0.3 peratus berbanding Disember 2024, walaupun pakar ekonomi menjangkakan kenaikan sebanyak lima peratus.
“Jualan kenderaan juga merosot 40 peratus berbanding Disember 2024, dengan penurunan tahunan sebanyak 27 peratus,” katanya.
Lim menegaskan bahawa faktor-faktor ini menunjukkan keperluan perbelanjaan luar jangka bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.