Naib Presiden UMNO adalah jawatan tertinggi yang dipertandingkan pada pemilihan parti Mac depan susulan dua jawatan nombor satu dan dua, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan dipertandingkan.
Banyak nama-nama besar dilapor sedang ‘mengintai’ jawatan nombor tiga parti itu ketika ini.
Setakat ini, salah seorang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.
Dua lagi penyandang, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid masih lagi berteka-teki.
Selain itu, bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad turut umum untuk bertanding jawatan itu.
Nama-nama lain yang turut dikatakan mengintai peluang untuk menjadi calon Naib Presiden UMNO ialah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Pemilihan parti kali ini bakal berlangsung selepas tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa muka yang ‘familiar’ (biasa dilihat) setiap kali pemilihan berlangsung seperti bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, bekas Setiausaha Agung BN,Tan Sri Annuar Musa, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein, serta bekas Ahli MKT Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.