KUALA LUMPUR: Lelaki yang terlibat dalam kemalangan maut di Bukit Kecil, Terengganu, Isnin lalu sehingga meragut nyawa seorang mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Terengganu, Yuhanis Mohd Roslan, selepas permohonan dibuat oleh pihak polis.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 tengah hari pada 5 Januari lalu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu sebuah Perodua Viva dari arah UniSZA ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu, dipercayai sedang membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum kenderaannya dirempuh sebuah Honda Jazz dari arah bertentangan.
Impak perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa, yang merupakan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di UniSZA, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut laporan media, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor memaklumkan bahawa lelaki berusia 32 tahun yang memandu Honda Jazz itu disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD).
Beliau berkata, suspek juga dilaporkan pernah beberapa kali mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Januari 2025.










