Nahas Berlaku Mungkin Akibat Masalah Pada Sayap – MB T’ganu Beri Pandangan

KUALA LUMPUR: Antara faktor yang mungkin menyebabkan sebuah pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, di Shah Alam Selangor adalah berkaitan dengan masalah pada sayap pesawat itu, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga seroang pakar dalam bidang aeroangkasa.

Dalam hantaran di halaman Facebooknya, bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata berdasarkan bahan-bahan visual yang diperoleh orang awam masalah dialami pesawat itu mungkin disebabkan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi atau elevator.

“Melihat kepada bahan-bahan visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang juga mempunyai lain-lain kekangan), saya lebih cenderung untuk percaya isu yang jadi persoalannya ialah kawalan penerbangan – lebih kepada masalah pada sayap, kemungkinan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi dan elevator,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kegagalan pesawat juga boleh berpunca daripada pelbagai masalah seperti isu penyenggaraan, kegagalan integriti struktur pesawat, kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik dan faktor manusia.
Beliau berkata lebih maklumat diperlukan dalam mencari faktor penyebab nahas itu termasuk siasatan di lokasi kejadian, pemeriksaan mikro dan makro ke atas bahagian atau serpihan pesawat dan analisis kotak hitam.

Sementara itu Ahmad Samsuri yang mewakili semua warga Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) petang semalam.

Semalam 10 lelaki disahkan maut dalam nahas itu terdiri daripada enam penumpang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Pahang Hijau Datuk Seri Johari Harun dan dua kru penerbangan.
Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui kawasan itu.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles