KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, selepas gambarnya digunakan dalam satu akaun Facebook palsu yang memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Goh Khai Seng, 40, yang dikenali dalam talian sebagai Cayson Goh, mendakwa menjadi mangsa fitnah apabila nama dan gambarnya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan mencemar imej dan reputasinya.
“Saya ingin merakamkan permohonan maaf yang setulus-tulusnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Sebagai anak Johor, saya sama sekali tidak akan bersikap biadab terhadap institusi diraja,” katanya dalam satu sidang akhbar di Taman Setia Tropika hari ini.
Menurut Khai Seng, akaun palsu yang menggunakan nama serta gambarnya itu telah memuat naik kenyataan menghina dalam bahasa Cina, yang kemudian diterjemahkan sebagai komen berunsur hasutan terhadap keberadaan Sultan Ibrahim dalam sambutan rasmi negara terhadap Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini.
Khai Seng memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan beliau turut meminta rakan-rakannya mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
“Akaun Facebook rasmi saya mempunyai tanda semak biru sebagai bukti ia telah disahkan oleh pihak Facebook. Akaun palsu itu hanya mempunyai 11 rakan dan tiada pengesahan, ini jelas menunjukkan ia bukan milik saya,” katanya.
Tambah beliau, ini bukan kali pertama dirinya menjadi sasaran fitnah, malah sebelum ini terdapat individu yang mencipta akaun palsu dengan nama dan gambar beliau bagi mengelirukan orang ramai.
Khai Seng turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarganya selepas menerima pelbagai ancaman daripada netizen yang percaya beliau benar-benar terlibat dalam insiden penghinaan tersebut.
“Saya kini menjadi mangsa serangan pihak yang berniat jahat. Ada netizen cuba mencari alamat dan nombor telefon saya, ini sangat membimbangkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial pada Rabu lalu.
Beliau menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai keterlaluan dan berunsur hasutan, sekali gus mendesak siasatan segera dijalankan bagi mempertahankan maruah institusi diraja.