KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperkukuh koordinasi antara agensi persekutuan dan negeri bagi menangani bencana banjir yang semakin memburuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa serta keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
“Saya berdukacita menerima perkhabaran mengenai situasi banjir yang semakin kritikal di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati kepada ribuan saudara kita yang terkesan. Semoga mereka diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengarahkan jabatan pendidikan negeri mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan kondusif.
Skuad Ihsan Madani turut digerakkan bagi membantu mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) serta bersiap siaga untuk operasi pasca banjir.
Lebih 8,600 Mangsa Dipindahkan
Setakat ini, seramai 5,106 mangsa daripada 1,416 keluarga di Sarawak telah ditempatkan di 42 PPS. Sementara itu, di Sabah, seramai 3,550 mangsa berada di 25 PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkoordinasikan operasi menyelamat dan bantuan dengan pelbagai agensi.
Sebanyak 4,742 anggota serta 531 aset telah digerakkan bagi membantu komuniti yang terjejas. Pihak berkuasa komited untuk memastikan bantuan kritikal sampai kepada mereka yang memerlukan.