LANGKAWI: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju memeterai Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan surat tunjuk niat (LoI) dalam usaha meningkatkan pembangunan teknologi angkasa dan beberapa tujuan kemajuan yang lain.
Perjanjian itu antaranya melibatkan dua MoU dan enam LoI, membabitkan MYSA dengan Lembaga Koko Malaysia, dan MYSA dengan Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG).
Perjanjian MoU antara MYSA dengan Lembaga Koko Malaysia antaranya bertujuan membentuk kerjasama dalam meningkatkan penggunaan teknologi angkasa bagi memantapkan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti pemetaan kawasan tanaman koko di Malaysia dengan lebih cekap dan berkesan.
Manakala MoU dengan PIMMAG bertujuan menjalinkan kerjasama dalam meningkatkan penggunaan teknologi angkasa khususnya pelaksanaan operasi menangani tumpahan minyak dengan lebih cekap dan berkesan.
Bukan itu sahaja, MYSA juga menandatangani surat tunjuk niat (LoI) dengan tiga syarikat tempatan iaitu di antara MYSA dengan Gading Group, UZMA Berhad dan PIESAT Malaysia.
“Tujuan LoI ini diadakan bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi angkasa melalui penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan sumber manusia,” menurut kenyataan dari MOSTI kepada pihak media.
MYSA telah diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Azlikamil bin Napiah.
Majlis turut dihadiri dan disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang dan Timbalannya, Datuk Arhur Kurup.
Hadir sama Ketua Setiausaha, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim dan timbalannya, Datuk Ts Dr Mohd Nor Azman Hassan.