MyNIISe Dilaksana Berperingkat Mulai Suku Kedua Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan mula dilaksanakan secara berperingkat di pintu masuk negara bermula awal suku kedua tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, keutamaan utama ketika ini adalah memastikan pelaksanaan sistem baharu itu berjalan lancar tanpa menjejaskan keselesaan pelancong atau mengganggu operasi di pintu masuk utama negara.

Saifuddin menegaskan, peralihan kepada MyNIISe perlu dilaksanakan secara tersusun dan lancar, khususnya melibatkan pergerakan awam, memandangkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah berasaskan data kemasukan pelawat.

“Daripada setiap 100 pelancong yang memasuki Malaysia, kira-kira 75 peratus melalui KLIA Terminal 1 dan 2 serta Tambak Johor. Fokus kita bukan sekadar mempercepatkan proses, tetapi memastikan peralihan sistem berlaku dengan teratur tanpa menjejaskan pengalaman perjalanan,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pengamal media hari ini.

MyNIISe bakal menggantikan Sistem Pengurusan Imigresen Bersepadu Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih dua dekad dan kini dianggap tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, pertambahan jumlah penumpang serta keperluan integrasi data moden.

Mengulas pelaksanaan MyBorderPass, Saifuddin menjelaskan sistem itu tidak akan menjadi lapuk selepas MyNIISe beroperasi sepenuhnya kerana segala fungsi, dapatan dan pengalaman daripada MyBorderPass akan disepadukan ke dalam sistem baharu berkenaan.

Menjawab kebimbangan berhubung keselamatan data imigresen dan risiko kebocoran maklumat peribadi, beliau menegaskan bahawa proses peralihan sistem ketika ini tidak melibatkan sebarang pemindahan atau perkongsian data yang boleh menjejaskan keselamatan maklumat pengguna.

Katanya, data pengguna kekal dalam ekosistem yang sah dan dilindungi, walaupun terdapat tiga penyedia perkhidmatan lama yang masih beroperasi secara serentak di beberapa pintu masuk negara.

Menurut beliau, sistem peralihan sedia ada termasuk MyBorderPass hanya memerlukan dua elemen asas daripada pengguna, iaitu pendaftaran identiti melalui MyDigital ID atau kaedah eKYC serta pengesahan pasport yang sah.

“MyNIISe akan menggunakan teknologi pengecaman wajah, imbasan iris dan pengesahan pasport. Oleh itu, isu kecurian atau kebocoran data imigresen tidak timbul kerana struktur data sistem baharu ini tidak bersilang dengan pembekal sistem lama,” jelasnya.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa penyedia perkhidmatan lama tidak membangunkan infrastruktur teras imigresen, sebaliknya hanya menyediakan sistem sokongan sementara.

Bagi memastikan kestabilan sistem dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan, beliau berkata KDN telah menubuhkan satu pasukan khas yang bermesyuarat setiap hari bagi memantau keseluruhan proses migrasi sistem.

Pasukan itu bertanggungjawab menyemak senarai semak teknikal, mengenal pasti potensi gangguan, menjalankan penyelesaian masalah serta memastikan pintu masuk utama negara terus beroperasi tanpa gangguan.

“Sejak Januari lagi, pasukan teknikal kami telah bermesyuarat setiap hari. Sebarang isu, sama ada berkaitan sistem, infrastruktur atau kesesakan, akan terus dibawa untuk tindakan segera,” katanya sambil menegaskan MyNIISe merupakan projek utama KDN dalam usaha mereformasi sistem pintu masuk negara.

BBerkaitan

Latest articles