MWC 2025 – Tampilkan Pencapaian Teknologi, Komitmen Negara Dalam Transformasi Digital

KUALA LUMPUR: Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, ketika ini menjadi platform untuk menyerlahkan pencapaian negara dalam memacu kemajuan teknologi melalui pelaksanaan 5G, infrastruktur digital, dan inovasi kerjasama di rantau ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata Malaysia komited untuk membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada rakan negara serantau.

“Pavilion Malaysia yang menghimpunkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), serta penggiat industri termasuk Digital Nasional Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Corporation Bhd, Edotco Group Sdn Bhd dan MEASAT Global Bhd, juga menjadi paparan komitmen Malaysia untuk memacu transformasi digital serta memupuk kerjasama antarabangsa,” kata MCMC dalam satu kenyataan rasmi.

MCMC juga menyifatkan pencapaian di MWC 2025 membuktikan bahawa Malaysia tidak hanya seiring dengan kemajuan global tetapi turut menyumbang kepada inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.

Pavilion Malaysia, yang dibuka secara rasmi semalam, turut menampilkan pelbagai pencapaian teknologi Malaysia dalam sektor-sektor utama dan berlangsung antara 3 hingga 6 Mac 2025.

“Pavilion Malaysia di MWC 2025 ini jelas menjadi bukti kemajuan serta visi negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih saling berhubung, inovatif, dan mampan,” katanya.

Antara sorotan utama di Pavilion ini adalah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah melepasi jangkaan, menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, sekali gus mengatasi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.

MCMC turut menambah bahawa satu lagi inisiatif utama yang dipamerkan adalah usaha rintis rangkaian teras berbilang pengendali 6 Hala (MOCN), sebuah inisiatif pertama di ASEAN yang meningkatkan kesalinghubungan melalui perkongsian infrastruktur di kalangan pengendali rangkaian mudah alih.

BBerkaitan

Latest articles