National CEO Symposium 2025: Muslim Insiders Mahu Usahawan Terapkan Amalan Patuh Syariah Dalam Perniagaan

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Muslim Insiders (Muslim Insiders) mahu menekankan perniagaan patuh syariah kepada usahawan-usahawan di peringkat pertengahan bagi menggalakkan ekonomi Islam dengan menguasai amalan pematuhan syariah.

Presidennya, Prof (Adj) Adam Richman berkata pemerkasaan amalan patuh syariah dalam perniagaan dilihat lebih lestari, mampan, dan membantu usahawan mencipta perniagaan yang lebih berdaya tahan, kompetitif, dan lebih kalis masa depan.

“Jadi, kita mahu memperkasakan syarikat-syarikat pertengahan ini sebelum mereka berkembang menjadi syarikat konglomerat, supaya mereka menjadi syarikat yang mengamalkan amalan operasi patuh syariah. Bukan hanya kerana tuntutan agama semata-mata.

“Ini juga terbuka kepada bukan Muslim, seperti yang kita tahu majoriti pengamal halal di negara kita adalah bukan Muslim. Jadi, kami mahu menggalakkan semua perniagaan untuk memperkasakan amlan patuh syariah dalam operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di acara National CEO Symposium 2025: Where Top Industry Leaders Coverage, yang berlangsung di Avante Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi KNKV Group, Senator Datuk Seri Dr. Hjh Zurainah Musa.

Acara itu adalah sebuah simposium yang berfokus kepada sokongan kewangan, intelektual, serta kesedaran berkaitan keselamatan perniagaan dan prospek pasaran.

Simposium ini turut direka untuk memberi panduan yang lebih mantap kepada para Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam membuat keputusan yang lebih bijak dan strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi pada tahun 2025 yang diramalkan lebih mencabar.

Acara ini juga mendapat kerjasama daripada bank-bank utama serta organisasi terkemuka seperti CTOS, Great Eastern Takaful dan OCBC Bank.

Sementara itu, pada simposium itu KNKV Group turut mengumumkan perlantikan Senator Datuk Seri Dr. Hjh Zurainah Musa sebagai Pengerusi baharu.

KNKV Group dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dijangka memberi nilai strategik kepada KNKV Group melalui pengalaman luasnya dalam memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta memperkasakan usahawan dan sektor korporat di Malaysia.

“Sebagai langkah pertama dalam kepimpinan baharu ini, Dewan Perniagaan Muslim Insiders dan KNKV Group dengan kerjasama bank-bank utama serta organisasi terkemuka seperti CTOS, Great Eastern Takaful, OCBC Bank telah menganjurkan National CEO Symposium 2025,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles