Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan dakwaan Yayasan Sabah terhadapnya sebagai mencurigakan dan palsu.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap saman bernilai RM872 juta yang dikemukakan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang didakwa hilang akibat perjanjian aktiviti pembakalan yang meragukan.
Peguam yang mewakili Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, Musa menafikan sebarang tuduhan salah laku sepanjang beliau memegang jawatan Pengerusi Yayasan Sabah bermula dari 2003 hingga 2018.
Tengku Fuad juga memaklumkan sama ada Musa dan dirinya sendiri tidak menerima apa-apa notis tuntutan daripada pihak berkenaan.
“Selain itu, Musa juga menyangkal tuduhan bahawa beliau telah melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai pengerusi Yayasan Sabah. Tuduhan yang dibuat terhadapnya hari ini adalah bersifat skandal dan tidak benar sama sekali.
“Kedua, perbuatan mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk mendakwa melalui media adalah mencurigakan, tidak teratur dan tidak wajar. Ini kerana pihak yang memulakan kes harus membuat penyampaian dokumen kepada defendan atau peguam lantikannya.
“Dalam kes ini, Musa tidak diberikan sebarang dokumen termasuk saya sendiri. Saya mendapati bahawa tindakan mereka ini sungguh pelik sedangkan dokumen boleh dihantar ke pejabat saya ataupun ke kediaman beliau.
“Kemungkinan tuntutan melalui media ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan juga publisiti yang dirancang untuk mengalihkan perhatian serta mengelirukan orang ramai.
“Bagaimanapun, saya diarahkan untuk menerima tuntutan saman ini dan akan memberi komen lebih lanjut pada waktunya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria memberita tuntutan saman tersebut difailkan pihaknya pada 16 Jun lalu menerusi sistem e-filing di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Untuk rekod Yayasan Sabah merupakan pemegang konsesi pembalakan terbesar di Sabah, ditubuhkan pada 1966 bagi menjaga kebajikan sosioekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan negeri.