Murid 11 Tahun Cedera Kepala Dibaling Kerusi Oleh Bapa Gara-Gara Air Kopi Sejuk

MELAKA: Gara-gara menyediakan air kopi O yang tidak cukup panas, seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera di kepala selepas terkena kerusi yang dibaling bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Banda Hilir, Khamis lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin mengesahkan insiden itu.

“Ketika kejadian, hanya kanak-kanak itu dan bapanya berada di rumah kerana ibunya bekerja.

“Bapa mangsa mengarahkannya menyediakan air kopi O panas tetapi apabila diberitahu kopi sudah dipanaskan, lelaki itu tidak percaya lalu berang dan terus membaling kerusi hingga terkena kepala anaknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kalsom berkata, selepas menyedari anaknya luka di kepala, lelaki terbabit membersihkan kesan darah sebelum ibu kanak-kanak itu dimaklumkan apabila pulang dari kerja.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik di Cheng, namun kes dirujuk ke Hospital Melaka kerana klinik berkenaan tidak mempunyai kemudahan x-ray dan CT Scan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan serius pada mangsa,” katanya.

Beliau memaklumkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turun padang Isnin ini untuk merakamkan keterangan keluarga terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, sumber memaklumkan kejadian murid Tahun Lima itu bukan kali pertama berlaku.

Sebelum ini, dia pernah mengadu kepada pihak sekolah bahawa bapanya memukul kaki dan badan hingga meninggalkan kesan lebam.

“Kes ini sedang dipantau bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit,” kata sumber itu.

BBerkaitan

Latest articles