Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan perbincangan untuk memansuhkan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) kini berada dalam peringkat akhir.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata keputusan muktamad mengenainya juga akan diumumkan tidak lama lagi sebaik sahaja perincian kajian selesai sepenuhnya.
“Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya… kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.
“Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Muslimin berkata kementerian tidak membuat kajian sama ada perlu menggantikan UPSR dengan ujian lain yang fungsinya sama dengan UPSR.
Sebaliknya, beliu berkata, pencapaian akademik murid tahun enam akan dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi membolehkan mereka ditempatkan di lima jenis sekolah khusus.
“UPSR adalah ujian penilaian dan ia boleh dibuat dengan kaedah lain seperti pentaksiran sepanjang masa yang lebih asli dan berterusan sifatnya serta membuka peluang yang lebih luas kepada lebih ramai murid,” katanya.
15 April lalu, KPM mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.