Mungkin Parti Lawan Ada ‘Senjata’ Tertentu, Jentera BN Diingatkan Berhati-Hati

JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan memberi peringatan kepada jentera Barisan Nasional (BN) tidak terlalu yakin dalam menghadapi parti-parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana situasi PRN di Johor berkemungkinan tidak sama seperti apa yang dihadapi UMNO dan BN di Melaka dan Sarawak.

“Kita jangan berharap kepada semangat PRN Sarawak dan PRN Melaka sahaja tetapi kita perlu bersemangat sendiri, sebagai ‘Bangsa Johor’, sebagai rakyat Johor dan sebagai pengundi Johor.

“Ingat, kita mahu menjadikan Johor sebagai negeri termaju, termaju di negara, maju buat rakyat dan keluarga. Oleh itu kita jangan terlalu ‘over confident’,” katanya memetik wawancara beliau bersama MalaysiaGazette malam tadi.

Ahmad juga tidak menolak kemungkinan parti-parti lain juga memiliki ‘senjata-senjata’ tertentu yang digunakan untuk menewaskan UMNO-BN kali ini.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Pontian berkenaan mahu BN sentiasa berwaspada dan terus bekerja keras dengan bersungguh-sungguh mendekati pengundi Johor.

Malah tidak mustahil semangat kemenangan UMNO-BN di Melaka dan Sarawak boleh dicapai di Johor, 12 Mac depan.

“Insya Allah kita boleh menang pilihan raya ini dengan izin Allah SWT,” katanya.

Untuk PRN Johor, BN menampilkan 70 peratus muka baharu, dengan 10 peratus terdiri daripada calon berusia 55 tahun.

BBerkaitan

Latest articles