More

    Munasabah Untuk Bung Ketuai Jentera BN Di PRN Sabah, Kata Zahid

    Meskipun berbeza pendapat, namun semua pohak di dalam Umno mesti memegang tujuan yang sama iaitu memenangkan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

    Demikian menurut Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengulas bantahan beberapa ketua bahagian Umno di Sabah terhadap pelantikan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

    “Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan, tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah ditentukan di mana pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah dan pengerusi BN Sabah merupakan lantikan yang dibuat oleh saya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

    “Maka, tentulah lebih munasabah mana-mana pengerusi badan perhubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera yang ada dalam PRK, apatah lagi PRN,” katanya kepada pemberita ketika hadir program ramah mesra di Besout 3 di Tanjung Malim, malam tadi.

    Zahid, dalam masa yang sama mengingatkan setiap pihak di dalam Umno untuk tidak memberi ruang kepada pihak lawan mencari kelemahan parti yang akan memberi kesan kepada sokongan rakyat di PRN Sabah.

    Menerusi perkembangan yang sama, Zahid memaklumkan bahawa parti sehingga kini belum memuktamadkan hal pembahagian kerusi sesama parti di dalam Perikatan Nasional (PN).

    “Namun, saya yakin apa yang telah saya bincangkan dengan kepimpinan Umno Sabah agar semua faktor-faktor mewakili peringkat umur, golongan profesional dan juga muka-muka baru akan diberikan keutamaan supaya wajah perubahan pada kali ini akan dapat memberikan harapan baru kepada pengundi di Sabah,” katanya.

    Sabah akan mendepani pilihan raya negeri pada 26 September depan, susulan pergolakan politik di negeri itu yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada penghujung Julai lalu.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini