Mulai 1 Mac Warga Asing Dilarang Beli Minyak Masak Paket

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Mac ini, warga asing tidak lagi dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 apabila kerajaan memperkenalkan larangan rasmi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, larangan itu akan dilaksanakan menerusi Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961, yang kini sedang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurut beliau, langkah itu menoktahkan perdebatan panjang berhubung pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga asing, khususnya berkait isu pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat peruncit.

“Isu utama sebelum ini ialah bagaimana larangan boleh dilaksanakan secara praktikal. Kini, dengan sistem yang hanya membenarkan pembelian oleh warganegara melalui integrasi butiran kad pengenalan, pelaksanaannya menjadi lebih berkesan dan terkawal,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang membangkitkan keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), khususnya dalam memastikan warga emas dan golongan miskin terus menerima bekalan bersubsidi tanpa tercicir.

Abdul Latiff turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan eCOSS di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan akses internet.

Mengulas perkara itu, Armizan berkata kerajaan menyedari kebimbangan tersebut dan telah mengambil beberapa langkah mitigasi, termasuk memperluaskan penggunaan aplikasi Mobile eCOSS secara berperingkat, bermula di Putrajaya sejak Mei lalu, selain diperkenalkan di premis Program Jualan Rahmah Madani serta beberapa negeri lain dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Dalam fasa rintis ini, pembelian secara manual masih dibenarkan. Kaedah manual akan dikenal pasti secara bersasar di premis terpilih yang belum mempunyai capaian internet,” jelasnya.

Tambah beliau, peruncit juga akan dibekalkan modul khas bagi membantu warga emas dan golongan miskin yang tidak mempunyai akses internet atau telefon pintar, termasuk bantuan terus di premis jualan.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan sistem eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih bagi membolehkan pembelian menggunakan kad pengenalan, selari dengan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“KPDN kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan untuk merealisasikan integrasi ini,” katanya.

Sebelum ini, pada 9 Januari 2024, Armizan dilaporkan menyatakan tiada larangan terhadap warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi, namun mereka tertakluk kepada had pembelian yang sama seperti rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles