ALOR SETAR: Muktamar Tahunan PAS Pusat melakar sejarah apabila perwakilan sebulat suara meluluskan usul supaya parti itu memimpin Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Usul yang dibentangkan wakil Dewan Pemuda PAS, Mohd Faizuddin Mohd Zai, menegaskan bahawa PAS perlu mengemudi PN selepas gabungan pembangkang itu dilihat “tepu, hilang fokus dan tiada hala tuju jelas”.
“Rakyat menunggu kita bangkit mengangkat perjuangan PN. Hari ini orang lihat PN lemau, tiada arah. Sebelum kita masuk PRU16, PAS mesti mengambil alih kepimpinan,” katanya ketika membahaskan usul bertemakan pemerkasaan PN.
Faizuddin turut merujuk kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini menyatakan calon Perdana Menteri PN seharusnya seorang berusia bawah 70 tahun dan sihat tubuh badan.
“Isyarat ini jelas, Perdana Menteri akan datang perlu lahir daripada parti ini,” katanya, sekali gus mencetus sorakan perwakilan.
Perwakilan PAS Shah Alam, Mohamed Sukri Omar yang menyokong usul itu berkata cadangan tersebut dibuat berdasarkan rekod panjang PAS dalam politik negara, selain fakta bahawa parti itu kini memiliki jumlah kerusi terbesar dalam PN.
“Kita bukan mahu merampas kepimpinan, sebaliknya mahu menjadi benteng utama mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PN. Dengan nakhoda yang tepat dan calon boleh menang, InsyaAllah kita mampu tadbir Malaysia,” katanya.
Sebanyak 46 usul dibawa dan diterima pada muktamar kali ini, dengan usul memimpin PN menjelang PRU16 menjadi sorotan utama.