Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan sokongan wakil rakyat yang diterima Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Dalam masa yang sama Mukhriz berkata bahawa partinya tidak “terhegeh-hegeh” menawarkan kerjasama dengan Anwar apatah lagi pihaknya tidak dijemput oleh Anwar untuk berbincang berhubung perkara tersebut.
“Jadi takkan kita nak terhegeh-hegeh untuk menawarkan kerjasama dengan beliau, saya sendiri pun rasa hairan dengan tindakan Anwar yang menyatakan bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya sudah mencukupi untuk tujuan itu.
“Di pihak kami yang terdiri daripada Pejuang, Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, setidak-tidaknya ada 18 orang.
”Mungkin jumlah 18 itu dianggap kecil dan Anwar sendiri menyebut bahawa kumpulan Dr Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam jumlah sokongan yang beliau ada,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.
Rabu lalu Anwar dalam satu sidang media tergempar di sebuah hotel di Kuala Lumpur memaklumkan mempunyai majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan baru sekaligus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mendakwa sokongan terhadapnya datang daripada ahli parlimen daripada pelbagai parti.