Mukhriz Dakwa UMNO ‘Duri Dalam Daging’ Kerajaan Hari Ini, Patut Digantikan Dengan PN

Mukhriz Dakwa UMNO ‘Duri Dalam Daging’ Kerajaan Hari Ini, Patut Digantikan Dengan PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu dipertimbangkan sebagai ganti kepada UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan setelah parti itu dilihat sebagai duri dalam daging kepada pelbagai masalah dalam negara.

Demikian dakwaan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sambil menambah bahawa PN dan Pakatan Harapan (PH) boleh mempertimbangkan memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) untuk memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

“Kalau boleh adakan satu perjanjian supaya mereka (PN) tidak ambil ahli Parlimen Umno, kemudian PN boleh buat CSA dengan PH atau sertai kerajaan perpaduan, gantikan Umno yang mewakili orang Melayu.

“Masalah selesai, sudah tentu akan ada perbezaan antara PH dan PN tetapi kalau boleh diketepikan lakukan demi kebaikan dan masa depan negara,” katanya pada sidang media.

Bukan itu sahaja , Mukhriz juga mendakwa UMNO telah menimbulkan pelbagai isu terbaharu membabitkan keputusan melepaskan tanpa membebaskan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan membabitkan kes Yayasan Akalbudi.

Perkembangan itu didakwanya telah menyebabkan ketidaktentuan di dalam negara.

“Saya cadangkan kerajaan perpaduan ‘singkirkan’ UMNO yang hanya ada 26 ahli Parlimen, gugurkan mereka, ada lagi 118 kerusi, termasuk (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman).

“Masih cukup untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan mentadbir,” katanya.

Namun kata Mukhriz, PN mesti dihalang daripada mengambil Ahli Parlimen UMNO yang dibimbangi bakal ‘menjangkiti’ komponen itu dan mungkin menimbulkan pelbagai masalah lain.

Merujuk keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan kes Zahid pada 4 Sept lalu, Mukhriz yang juga bekas Ahli Parlimen Jerlun mendakwa tidak mustahil lama kelamaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga bakal ‘dibebaskan’.

BBerkaitan

Latest articles