Bakal berdepan dengan situasi sama tahun 2016, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa dirinya sering menjadi mangsa pengkhianatan dalam politik kerana sikapnya yang terlalu baik dan tidak berburuk sangka dengan sesiapa.
Malah Timbalan Presiden Bersatu itu juga meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan individu yang dianggap sebagai ‘keluarga’.
“Saya antara orang selalu baik sangka. Saya tidak suka gaduh-gaduh, berkelahi dengan orang, tetapi kadang-kadang ada orang beritahu saya, atas sifat itu saya kerap menjadi mangsa pengkhianatan, seperti yang saya lalui kebelakangan ini.
“Bayangkanlah bagaimana hendak berinteraksi dengan orang lain, meluaskan hubungan persahabatan dengan orang baru dikenali.
“Sekarang ini kita melalui keadaan di mana rakan seperjuangan boleh tikam belakang. Jadi bila jumpa orang baru, sudah tentu ada sifat was-was,” katanya dalam Wacana Pasca Covid-19, malam tadi.
Mukhriz memberikan reaksinya berkenaan situasi politik terkini di Kedah yang menyaksikan desakan untuk dirinya melepaskan jawatan sebagai menteri besar selepas hilang sokongan majoriti.
Anak kepada Pengerusi Bersatu itu pada kelmarin mendakwa masih memegang jawatan nombor satu di Kedah sehingga usul tidak percaya diluluskan di DUN.
Dikhabarkan kesemua ADUN Kedah bakal mengadap Sultan Kedah hari ini berkenaan perkembangan pentadbiran negeri.