Mukaab Ciptaan Putera Mahkota Saudi Didakwa Bakal Jadi ‘Kiblat Hiburan’

 

Pembinaan Mukaab, sebuah seni bina gah rancangan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (MBS) telah mengundang kritikan ramai pihak sekali gus didakwa bakal menjadi ‘kiblat hiburan’.

Setelah negara itu melancarkan pelan seni bina berkenaan pada Khamis lalu, ramai pihak meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap berita tersebut di laman media sosial, Twitter.

Seorang pengguna mempersoalkan bentuk kubus yang dipilih, katanya, “Adakah dia mahu mencipta kiblat hiburan (menghala ke arah Kaabah) untuk dipadankan dengan kiblat agama?”

Pengguna lain pula berkata, “Ini adalah pilihan yang pelik atau hanya bagi saya? Mukaab baru, seperti Kaaba tapi mempunyai tempat beli-belah…?”

Ujar pengguna lain, “Mohammed bin Salman akan membina Kaabah Jahiliah di Riyadh. Dalam Kaabah ini dia akan meletakkan berhala Zionisme dan Kapitalisme.”

Sementara itu, pengkritik juga mendapati bahawa struktur binaan mega berbentuk kubus itu dilihat terlalu hampir menyerupai Kaabah, iaitu tapak paling suci serta kiblat bagi umat Islam. Ia akan dibina di ibu kota Mekah, Riyadh menjelang akhir dekad ini.

Pembangunan projek merupakan sebahagian daripada rancangan mewujudkan ‘pusat bandar terbesar dan moden di dunia’ serta akan diketuai oleh MBS sendiri. Ia menempatkan lebih 100,000 unit kediaman, 9,000 bilik hotel dan 1.4 juta meter persegi ruangan pejabat serta puluhan tempat hiburan dan kebudayaan.

Mengulas lanjut, Mukaab adalah projek terbaru dalam siri projek seni bina bercita-cita tinggi di negara berkenaan selepas bandar mega NEOM. Sebelum ini, NEOM juga menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia, selepas puluhan penduduk suku tempatan yang menetap di tapak pembinaan dipenjara akibat membantah pembinaan projek tersebut.

Latest articles

Related articles

spot_img