KUALA LUMPUR: Mengakui cabaran pertama kali menjadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Mohamad Khir Ramli bagaimanapun menghargai sokongan dan bantuan yang diberikan rakan-rakan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Sebenarnya di sini banyak komponen parti yang amat membantu saya dalam berkempen. Parti Amanah Negara (Amanah), PKR setiap hari ikut. BN sudah tentu, MIC pula bila sampai sahaja saya di kawasan majoriti masyarakat India mereka sangat bersedia membantu.
“Bila kita pergi kawasan DAP begitu juga semua jawatankuasa turun, begitu juga MCA. Penglibatan setiap parti sangat hebat. Komitmen semua pihak sangat membantu untuk memastikan kemenangan saya di sini,” katanya selepas mengadakan Walkabout bersama masyarakat India di Taman Keta, Tanjung Karang.
Mesra dipanggil sebagai Ustaz Khir, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang ini maklum mengenai kesukaran penduduk berhubung kawasan perumahan mereka sering dinaiki air apabila air pasang.
Sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Sabtu ini, Ustaz Khir akan membawa rancangan kepada Kerajaan Negeri untuk membina tembok bagi mengelakkan kawasan perumahan tersebut terjejas akibat dinaiki air.
“Saya nampak, sekiranya penduduk di sini tolong saya, undi saya dan kita berada dalam kerajaan (negeri) saya akan cuba sedaya upaya mengadakan tembok untuk menghalang air pasang masuk ke kawasan perumahan ini.
“Tapi perkara ini bukan masa tu minta masa itu juga dapat, ada yang tahun ketiga mohon baru dapat. Biasanya. Kalau dapat tahun pertama itu rahmat,” jelasnya.