KUALA LUMPUR: Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sering dilihat panas dan kontroversi serta menjadi sasaran kritikan pihak yang merasakan mereka lebih Islam dan Melayu.
Sehubungan itu Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa berharap pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar sebagai Menteri Agama yang baharu diharap dapat meredakan serangan ‘penunggang agama’ terhadap pentadbiran Islam.
“Kita dapat lihat eksploitasi agama ditunggang secara maksima dalam isu Tabung Haji di mana isu asalnya hanyalah soal pentadbiran dan penstrukturan semula yang berkaitan soal “corporate governance“.
“Tapi lihatlah pihak yang bermotifkan politik menjadikannya isu agama sempit sehingga melahirkan kebencian dan permusuhan atas premis tidak membela Islam.
“Naratif ini diselaputi fitnah, pembohongan kebencian sehingga fakta ditutup dengan penguasaan fitnah dan pembohongan ke atas isu, tiada objektiviti!” kata bekas Menteri Agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), 2018 yang lalu.
Dalam masa yang sama, Mujahid menaruh harapan agar Mohd Naim akan meneruskan dasar ‘rahmatan lil alamin’ yang pernah dibawa beliau.
Mujahid berkata, rangka kerja dasar tersebut sudah disediakan dan hanya tinggal untuk dilaksanakan.
“Saya mendoakan perlantikan ini membawa kesan terbaik untuk kepentingan umat Islam khususnya dan pentadbirannya di Malaysia umumnya.
“Saya turut mengharapkan dasar Gagasan Negara Rahmah yang tertangguh perlaksanaan penuhnya dapat diteruskan kerana semua blueprint sudah pun tersedia untuk dilaksanakan.
“Dasar rahmatan lil alamin perlu menjadi bukti kejayaan Islam di Malaysia kepada mata dunia,” ujarnya.
Katanya, Mohd. Naim yang menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di bawah pentafbiran PH sangat arif dengan hasrat reformasi pentadbiran Islam.
Mujahid yakin hubungan baik Mohd. Naim dengan pihak istana khususnya dengan Sultan Selangor juga akan memudahkan urusan beliau sebagai menteri.
Mohd. Naim bakal memikul tugas lebih mencabar dalam mengendalikan hampir 17 agensi di bawah Hal Ehwal Islam Persekutuan termasuk Tabung Haji.
Beliau merupakan Ketua Hakim Syarie pertama diberi kepercayaan menjadi menteri Kabinet di bawah pentabiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.