Mujahid Bidas Hadi, Tabiat Suka Label, Hukum Orang Sesuka Hati

KUALA LUMPUR: Tuduhan kononnya Amanah sebagai ‘gurkha’ kepada DAP disanggah oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Tegasnya dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu penuh kepalsuan, bahkan penulisan pemimpin parti itu sudah cukup menunjukkan bahawa beliau seorang individu yang gemar melabel dan menjatuhkan hukum kepada yang tidak sehaluan dengan sesuka hatinya.

“Artikel bertajuk “PAN dan UMNO Menjadi Ghurka DAP” sudah cukup melambangkan tabiat minda Presiden Pas yang suka melabel, menghukum sesuka hati.

“Penulisan dilatari dengan perenggan yang menjelaskan makna Ghurka yang dakwanya setia dan sedia berkhidmat untuk tuannya selagi disuap dan diberi duit ringgit. Dia memulakan sesuatu yang palsu dengan mengharapkan rumusannya satu kebenaran.

“Walhal Allah telah menyatakan dalam sebahagian Al Ra’d: 17, bahawa perkara batil dan palsu umpama buih yang hilang tidak ada faedah apa-apa manakala yang benar kekal (berfaedah),” kata Mujahid.

Mujahid kemudiannya berkata, adalah penting untuk setiap pihak beradab, terutamanya pemimpin Kerana ia mencerminkan karakter pemikiran seseorang.

“Tulisan Minda Presiden PAS kali ini menampakkan adab sebenar di sebalik jubah dan serban. Adab menulis khususnya menuduh orang lain biarlah berbukti, jika tidak maka penulisan ini boleh difahami sebagai tuduhan fitnah yang jahat (fahishah).

“Ambillah peringatan Allah dalam An Nur ayat 19 (bermaksud): Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian),” kata Mujahid.

Sementara itu, Mujahid mahu umat Islam dan Melayu bangkit dari monopoli politik Islam PAS yang memenjarakan sebahagian umat Islam di Malaysia dari melihat luasnya perjuangan Islam.

Terdahulu Abdul Hadi mendakwa DAP meniru cara Inggeris mempergunakan bangsa yang dijajah Gurkha sebagai tentera barisan hadapan bagi menentang musuh.

Beliau mendakwa, DAP telah menjadikan UMNO dan Amanah sebagai askar ‘Gurkha’ untuk melawan PAS.

BBerkaitan

Latest articles