Muhyiddin Ucap Selamat Maju Jaya Dengan ‘Pilihan’ Tun M

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan pelucutan keanggotaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain dari parti itu tidak dilakukan secara terburu-buru.

Memetik kenyataan medianya, Muhyiddin memberitahu tindakan yang diambil berdasarkan perlembagaan parti itu sendiri.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti,” demikian menurut Muhyiddin.

Selain Dr Mahathir, turut dipecat dari parti pada Khamis lalu adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Tindakan tersebur diambil selepas kelima-lima mereka memilih untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) meskipun parti telah mengambil pendirian bersama dengan Pakatan Nasional (PN) dan membentuk kerajaan bersama Umno, PAS, MIC, MCA dan beberapa parti lain.

Pendirian bersatu untuk tidak lagi bersama PH diputuskan dari satu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Mac lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya dengan pilihan Dr Mahathir dan empat yang lain untuk bersama dengan blok pembangkang.

“YB Tun bersama pengikutkan yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan YB Tun, saya ucapkan maju jaya,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut menitipkan pesanan buat seluruh anggota parti untuk terus teguh dalam perjuangan selain mengharapkan kemelut melanda Bersatu segera berakhir.

BBerkaitan

Latest articles