Muhyiddin Tolak ‘Kolaborasi Agung’ Melayu Selagi Umno Bersama DAP

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang cadangan “kolaborasi agung” parti Melayu selagi Umno masih bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

Menurut Muhyiddin, cadangan yang diutarakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menimbulkan persoalan besar sama ada ia bertujuan mengajak semua parti Melayu berada di bawah Umno, sesuatu yang disifatkannya sukar diterima dalam keadaan politik semasa.

“Adakah Zahid mahu kami menyertai Umno, atau beliau kini bersedia berpisah dengan Pakatan Harapan?” soalnya ketika ditemui media, malam tadi.

Bekas perdana menteri itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai mana-mana gabungan politik baharu, sambil menambah sebarang keputusan hanya boleh dibuat secara kolektif dalam gabungan tersebut.

Mengulas kemungkinan bertemu Zahid, Muhyiddin berkata pertemuan hanya relevan jika terdapat penjelasan jelas mengenai hala tuju dan tujuan kolaborasi yang dicadangkan, khususnya berkaitan penglibatan DAP.

“Jika melibatkan DAP atau bentuk kerjasama politik dengannya, saya tidak akan bersetuju,” katanya.

Terdahulu, Zahid mencadangkan pembentukan “kolaborasi agung” bagi menyatukan parti Melayu-Islam di bawah satu payung, sambil menegaskan ia tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan dan hanya bermula sebagai pakatan tidak rasmi.

Sementara itu, PAS menyatakan kesediaan menyertai cadangan tersebut dengan syarat DAP tidak terlibat.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad, menegaskan penyertaan PAS bukan untuk menyelamatkan Pakatan Harapan walaupun atas nama perpaduan Melayu.

“Kita ada garis merah. Tanpa DAP. Kalau tujuan akhirnya menyokong PH, PAS tidak akan terlibat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles