KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam hari ini kecoh selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan.
Menurut Muhyiddin sudah tiba masanya buat dirinya memberi laluan kepada barisan kepimpinan yang baharu.
“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis BERSATU mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa supaya barisan kepimpinan kanan parti mengadakan perbincangan terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh berpengalaman luas yang ada bersama parti pada hari ini mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti.
Katanya, ia penting supaya kekuatan yang ada pada parti dapat digembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.
Malah Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir buat beliau berdiri di astas pentas sebagai Presiden parti.
“Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli BERSATU sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya.