Muhyiddin ‘Tersisih’ Jika Negeri Ditadbir PN Mahu Lantik Tun M Sebagai Penasihat

KUALA LUMPUR: Adalah menghairankan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak pula dilantik sebagai penasihat di empat buah negeri yang ditadbir gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi juga menyifatkan pasti Muhyiddin terasa hati apabila disisihkan oleh empat Menteri Besar berkenaan.

Semalam, media melaporkan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh PN dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘penasihat tidak rasminya.’

Puad juga berkata PAS dengan sikap suka kepada pecah-belah demi kepentingan parti itu sendiri.

“Banyak sungguh kes pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak. Gara gara dendam Tun M. Paling malang Najib tidak mendapat perbicaraan adil.

“Tetapi 4 negeri bawah PAS lantik Tun M sebagai penasihat. Mahiadin mesti kecil hati. PAS suka pecah belah.

“Kes IPIC lagi malang. Lima tahun tiada perbicaraan. Tahun hadapan baru mula bicara walaupun memo AGC yang bocor kata tiada kes,” katanya dalam satu kenyataan berjudul ‘Malang sungguh Najib’ di Facebooknya, hari ini.

Puad berkata demikian merujuk kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai berkata menteri besar empat negeri berkenaan akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan itu.

Samsuri berkata, empat menteri besar berkenaan secara prinsipnya bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan beliau sendiri sudah mengarahkan ahli exco berkaitan untuk berbincang dengan rakan mereka di tiga negeri lain di bawah PN.

Ujarnya Dr Mahathir memainkan peranan secara tidak rasmi dalam menasihatkan kumpulan empat negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles