KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diingati rakyat negara ini atas rekodnya sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang tidak stabil dan melaksanakan dasar yang tidak mementingkan rakyat, terutama ketika pandemik COVID-19, demikian menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
“Hasilnya adalah sebuah Kerajaan Persekutuan yang tidak stabil kerana mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, Bersatu dan Pas tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.
“Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Mengulas mengenai manifesto PN yang diumumkan semalam yang disifatkan populis dan gula-gula pilihan raya, tambah Rafizi, di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN, rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.
Malah, PN juga tidak berjaya menguruskan wabak COVID-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36, 482 orang yang memuncak semasa PN mentadbir negara.
“Ini adalah rekod kematian yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara kita.
“Kegagalan menguruskan wabak COVID-19 juga meninggalkan kesan ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak.
“Tempoh sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih dan #KitaJagaKita apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan beban golongan termiskin,” katanya.
Rafizi juga berkata, pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan darurat untuk kekal berkuasa.
“la satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.
“Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak,” katanya.