Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melihat kesan keceluparan kata-kata yang diungkapkan kerana mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum sebelum ini.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu jelas menunjukkan beliau tidak boleh menerima hakikat mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan hasil perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Beliau menyifatkan tindakan melampaui batas Muhyiddin itu cuma mencerminkan Ahli Parlimen Pagoh itu sangat tidak bertatasusila.
“Mungkin orang itu (Muhyiddin) tidak menerima hakikat bahawa titah untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan niat tuanku ketika itu bagi menyatupadukan semua parti gabungan agar tidak berlaku lagi ketidakstabilan dalam politik tanah air.
“Tetapi orang itu mungkin melihat dari aspek gila talak kerana tidak lagi mendapat jawatan itu semula.
“Ia sudah terpacul dari mulutnya ketika kempen PRK (Pilihan Raya Kecil) Dun Nenggiri pada hemat saya ia sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena Perhimpunan Agung Umno (Pau) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muyhiddin Yassin pagi ini menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).
Beliau berkata, dokumen itu adalah dua surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.
Katanya, dokumen kedua adalah 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.
Selain itu katanya, turut diserahkan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut serta dokumen lain yang berkaitan.