Muhyiddin Perlu Disiasat Selepas Cuba Dedah Kewangan Negara

KUALA LUMPUR: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba mendedahkan maklumat berkenaan kewangan negara perlu disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pendedahan bekas Perdana Menteri  itu perlu disiasat kerana Presiden Bersatu tersebut seolah-olah menggunakan ‘wakilnya’ di dalam Kementerian Kewangan untuk berbuat demikian.

“Kami mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.

“Kemungkinan terdapat percubaan melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang lain, di mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Mohd Fared yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Parit Sulong membuat laporan di di Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat, semalam, selepas Muhyiddin didakwa mahu mendedahkan maklumat kewangan negara.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin yang hadir pada majlis pelancaran Perikatan Nasional di Johor tidak menolak kemungkinan untuk mendedahkan maklumat kewangan negara dalam masa terdekat selepas beliau mengakui perkara itu akan disampaikan melalui Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pemuda UMNO Johor menyifatkan bahawa tindakan Muhyiddin sangat serius kerana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bukan lagi anggota Jemaah Menteri.

“Presiden Bersatu tersebut bukanlah salah seorang daripada Menteri Kabinet atau Perdana Menteri Malaysia yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara.

“Tindakan dan kata-kata Presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles