Muhyiddin Perlu ‘Belajar’ Hormat UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO berterusan meluahkan rasa kurang senangnya dengan gesaan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan rundingan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menetapkan tarikh pembubaran parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Razlan Rafii mengingatkan Pengerusi PN itu bahawa Ismail Sabri mempunyai kuasa yang besar untuk berbuat demikian, meskipun tanpa berunding dengan gabungan berkenaan.

Malah beliau menggesa Muhyiddin untuk belajar menghormati UMNO, apatah lagi parti itulah yang pernah mendokong dirinya sebagai perdana menteri suatu ketika dahulu.

“Hari ini, Muhyddin bukan dalam Kabinet, Hadi juga tidak ada, baru dia tahu nak minta berbincang bersama PM sekira ada keputusan nak dibuat.

“Ianya lebih elok sekiranya Muhyddin belajar menghormati Parti UMNO yang mendokong beliau menjadi Perdana Menteri semenjak dahulu.

“Perdana Menteri ada kuasa untuk membawa kepada Pembubaran Parlimen, tidak semestinya perlu berbincang dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Muhyiddin mendakwa Ismail Sabri bersetuju untuk melibatkan PN ke meja rundingan dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Menurut Muhyiddin, perkara dimaklumkannya kepada Ismail Sabri ketika program berbuka puasa dengan beberapa kepimpinan PN, semalam.

Mengulas lanjut, Razlan berkata isu kerjasama antara UMNO dan Bersatu mungkin boleh menjadi “lebih baik” sekiranya Muhyiddin bertindak menjaga hati UMNO sebelum ini.

“Ayat ini lebih mudah kalau Muhyiddin tahu menjaga perhubungan pada awal lagi.

“Semasa Darurat diumumkan, tidak langsung hendak berbincang, tidak pulak mempelawa untuk menunjukkan kebersamaan beliau mentadbir negara ini dengan Kongsi Pelbagai Parti.

“Semasa melantik Portfolio Menteri, beliau gunakan Prerogratif Sebagai Perdana Menteri untuk membahagikan Kementerian demi kepentingan Bersatu Sahaja, dapatlah BN Kementerian yang acah-acah sahaja selain satu dua yang ok.

“Tidak pernah dengar Keputusan Kerajaan yang nak buat perlu dibawa Bincang Dengan Parti-Parti didalamnya. Semua kononnya melalalui Menteri-menteri yang mewakili Parti,” ujarnya lagi.

 

BBerkaitan

Latest articles