KUALA LUMPUR: Kerana tidak menyokong dan tidak bersetuju dengan Langkah Sheraton, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa dirinya dan beberapa pemimpin Bersatu yang lain dipecat dari parti itu.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin sangat takut kehilangan jawatan Perdana Menteri hingga menyekat Parlimen daripada bersidang dan meminta darurat diisytiharkan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya, Dr Mahathir juga menyifatkan Muhyiddin seorang yang masih lagi bersikap angkuh dan hanya mahu menjadi Perdana Menteri, biarpun beliau sudah jatuh dan dihina UMNO.
“Muhyiddin cuba menafikan beliau pengkhianat yang terbabit dengan Langkah Sheraton dan cuba mengaitkan perkara itu dengan saya.
“Beliau memecat saya dan beberapa pemimpin BERSATU lain yang tidak bersetuju dengan Langkah Sheraton. Siapa yang dapat faedah daripada Langkah Sheraton ini, siapa yang jadi Perdana Menteri,” katanya.
Kenyataan bekas Perdana Menteri itu dipercayai membalas kenyataan Muhyiddin yanh mendakwa Dr Mahathir yang menggerakkan usaha membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Dalam kritikannya, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa Dr Mahathir bagaimanapun membuat pusingan U di saat akhir, apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuarat pada 21 Februari 2020 mengambil keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir dalam pada itu menegaskan amat mudah untuk mengenal pasti siapakah sebenarnya pengkhianat.
Apatah lagi pada minggu lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau yang menggerakkan Langkah Sheraton bersama-sama Muhyiddin sebelum Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi calon Perdana Menteri.
“Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat. Ada satu ungkapan bahasa Latin ‘cui bono’, yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan daripada sesuatu keadaan.
“Siapa yang jadi Perdana Menteri pintu belakang atau tebuk atap? Bukan saya, tetapi Muhyiddin,” katanya.
Bukan itu sahaja Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa Muhyiddin sebagai seorang yang tidak tahu malu kerana sanggup meminta perisytiharan darurat sekali lagi demi mengekalkan jawatannya, biarpun permohonannya sebelum itu ditolak Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, Muhyiddin juga menuduhnya bersetuju supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri, namun tidak mendedahkan soalan Dr Mahathir sama ada dia memegang jawatan itu dengan sokongan kleptokrat.
“Dia jawab sanggup dan dengan angkuh berkata dia tahu macam mana mahu tangani kerana dia ada pengalaman politik lebih 40 tahun.
“Akhirnya Muhyiddin tersembam selepas cuma 17 bulan menjadi Perdana Menteri selepas dikhianati oleh Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu bersama-sama mengkhianati rakyat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang,” katanya.
Menjelaskan mengenai pelawaan untuk pihaknya bekerjasama dengan Muhyiddin, Dr Mahathir memberitahu idea itu datang kerana beliau percaya selepas dijatuhkan dan dihina, Muhyiddin sudah bertaubat atau berasa kesal dengan perbuatannya.
“Dia khianat saya tidak mengapa, saya sangka dia cuba tebus khianatnya kepada parti BERSATU sehingga hilang beberapa negeri dan kepada rakyat keseluruhan. Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya.