KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu sudah kehilangan ciri kepimpinan yang pernah menjadi kekuatannya.
Menurut Saifuddin, Muhyiddin kini tidak lagi menonjolkan nilai kepimpinan berteraskan adab, ilmu dan kebijaksanaan seperti ketika awal penubuhan parti.
“Pokoknya, dia bukan lagi Muhyiddin yang kita kenal dulu. Kualiti kepimpinan itu sudah hilang,” katanya kepada Berita Harian, sambil mengesahkan bahawa beliau bersama beberapa lagi ahli Bersatu akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung desakan itu.
Saifuddin turut membangkitkan isu pengurusan dalaman Bersatu, mendakwa Muhyiddin gagal mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan tidak lagi mengamalkan gaya kepimpinan inklusif.
“Dia tak panggil mesyuarat MPT, macam mana nak bincang? Nak cari dia pun susah, apatah lagi menantunya,” sindir Saifuddin.
Selain Muhyiddin, Saifuddin juga menggesa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz melepaskan jawatan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan Bersatu.
Katanya, Azmin perlu menjelaskan dua isu utama yang menjejaskan kredibilitinya termasuk kontroversi lama melibatkan video peribadi serta tindakannya yang disifatkan autokratik.
“Baru-baru ini dia keluarkan surat yang sangat drakonian. Ia tidak mencerminkan semangat demokrasi dalam parti,” dakwanya.
Saifuddin turut menempelak Tun Faisal yang disifatkan lebih gemar mencetus provokasi berbanding menyampaikan maklumat rasmi parti.
“Tun Faisal bukan jalankan tugas Ketua Penerangan. Dia lebih macam ketua provokasi. Ramai ketua bahagian boleh sahkan perkara ini,” ujarnya.
Saifuddin menegaskan bahawa desakan itu bukan bermotifkan sabotaj politik, sebaliknya usaha untuk menyelamatkan Bersatu daripada terus terjejas di bawah kepimpinan sedia ada.
“Kami tidak langgar perlembagaan parti. Kami hanya mahu selamatkan Bersatu daripada mereka yang sedang mencemarkan imej dan perjuangan asalnya,” katanya.










