Bukan Umno yang sepatutnya membuat permohonan, sebaliknya Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat tawarannya bagi mengekalkan Umno dalam pentadbiran Perikatan Nasional.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, perdana menteri itu boleh membuat “tawaran yang adil” kepada Umno sekiranya beliau mahu terus memegang kuasa.
“Saya dimaklumkan petang tadi (semalam) bahawa Bersatu telah meminta Umno untuk menulis surat kepada presidennya untuk memohon apa-apa tuntutan. Pada pandangan saya, arahan seperti ini tidak membantu.
“Jika Bersatu serius mahu bekerjasama dengan Umno, sebagai perdana menteri yang memegang kuasa dan memerlukan sokongan gabungan parti politik untuk kekal berkuasa, Muhyiddin boleh membentangkan tawaran yang adil kepada Umno atau parti politik lain untuk dipertimbangkan oleh presiden Umno, Majlis Tertinggi mahupun pemimpin parti politik lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Isham menambah, Muhyiddin lebih mengetahui apa yang ada di bawah bidang kuasanya untuk ditawarkan.
“Bersatu tidak perlu menyuruh Umno untuk menulis surat rasmi kepada parti itu atau perdana menteri bagi menyatakan apa-apa permohonan.
“Memandangkan perkara yang perlu dibincangkan adalah soal politik, pada peringkat awal ini tidak perlulah melalui surat-menyurat rasmi seperti hal ehwal kontrak atau urusan perniagaan pula,” katanya lagi.
Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak itu juga berkata proses rundingan itu akan disusuli dengan persetujuan rasmi dan bertulis juka kedu-dua pihak sepakat.
Untuk rekod Muhyiddin, pada semalam menerusi Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri qHamzah Zainuddin meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dalam PN.
Sebelum ini Umno meluahkan rasa tidak puas hati selepas diketepikan dalam kerajaan dan memaklumkan ia sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap PN yang akan membawa kepada keruntuhan kerajaan sekarang.