Muhyiddin Panggil Mesyuarat Khas Esok Di Rumah

KUALA LUMPUR: Di tengah kemelut dalaman yang semakin memuncak, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka memanggil satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di kediamannya di Bukit Damansara, pagi esok.

Surat jemputan yang tular dan turut dipanjangkan kepada media memaklumkan bahawa mesyuarat itu akan berlangsung pada Sabtu, 14 Februari 2026, jam 10 pagi.

Perjumpaan berkenaan bakal menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi parti bagi membincangkan perkembangan semasa serta menentukan hala tuju Bersatu dalam landskap politik semasa.

Notis rasmi tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menekankan kepentingan kehadiran semua ahli MPT bagi memastikan perbincangan dapat dibuat secara menyeluruh dan tuntas.

“Adalah dimaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan diadakan pada 14 Februari 2026 (Sabtu) jam 10.00 pagi di kediaman Presiden, Bukit Damansara,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, agenda utama mesyuarat termasuk sesi penerangan oleh Muhyiddin sendiri berhubung perkembangan politik parti yang kini menjadi tumpuan umum.

Agenda penuh telah diedarkan lebih awal kepada semua ahli MPT sebagai persediaan sebelum pertemuan berlangsung.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat atas alasan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti dan dilaksanakan di bawah Fasal 22.5.

Turut menerima nasib sama ialah Ahli MPT, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah serta Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.

BBerkaitan

Latest articles