Muhyiddin Nafi Perpecahan, Anggap Hamzah ‘Sahabat Karib’

SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis spekulasi wujudnya perpecahan dalam parti itu dengan menegaskan hubungan beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal erat.

“Kita semua rakan. Ada pihak cuba mencetuskan persepsi bahawa saya dan Hamzah tidak sehaluan, tetapi hakikatnya beliau adalah sahabat karib saya. Inilah ‘dream team’ kita,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Ke-8 Bersatu hari ini.

Selain menolak dakwaan keretakan dalaman, Muhyiddin turut menyuarakan keyakinan terhadap usaha membentuk sebuah gabungan longgar parti pembangkang yang kini giat digerakkan.

“Prospek jangka panjangnya kelihatan cerah. Setakat ini sudah dua kali pertemuan diadakan, yang pertama secara tidak rasmi, dan kali kedua mesyuarat rasmi dengan kehadiran hampir semua parti,” ujarnya.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, mesyuarat berkenaan menghasilkan keputusan bersama berkaitan isu ekonomi termasuk langkah menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengira kaum.

“Kita sudah langkau batas perkauman. Sama ada Melayu, Cina atau India, kita mahu bertemu mereka untuk berbincang dan cari penyelesaian bersama,” jelasnya.

Muhyiddin turut membuka ruang kemungkinan kerjasama pembangkang itu diperluaskan ke pentas pilihan raya.

“Persoalan akan timbul adakah mereka akan sertai Perikatan Nasional (PN) atau bentuk pakatan pilihan raya untuk elak pertembungan pelbagai penjuru? Semua ini akan dibincangkan,” katanya lagi.

Bulan lalu, sebanyak 11 parti luar blok kerajaan mencapai kata sepakat untuk menubuhkan gabungan longgar bagi menuntut akauntabiliti pentadbiran serta menyuarakan isu rakyat, termasuk mendakwa kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji reformasi.

BBerkaitan

Latest articles