Muhyiddin Nafi Dakwaan Bersatu Dekati PH, Sifatkan Tuduhan Berniat Jahat

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Bersatu sedang menjalinkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan dilihat sebagai cubaan untuk menggugat keharmonian dalam parti itu sendiri serta hubungan antara komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu itu menegaskan perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti, termasuk dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bertanggungjawab menentukan dasar dan hala tuju parti.

“Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara di samping membela kebajikan rakyat. Sebarang kerjasama politik dengan mana-mana pihak akan sentiasa berpaksikan prinsip tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata atas prinsip sama juga Bersatu menubuhkan PN bersama PAS sebelum gabungan itu disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).

Muhyiddin menegaskan PN kekal sebagai wadah terbaik untuk Bersatu meneruskan perjuangannya, selain menegaskan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut.

Katanya, keutamaan Bersatu ketika ini adalah memperkukuh kedudukan parti serta memperkasa PN sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap dakwaan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini mendakwa wujud kumpulan dalam parti berkenaan yang mahu membawa Bersatu lebih hampir dengan PH.

Hamzah dilaporkan berkata kumpulan tersebut melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR namun beliau tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus.

BBerkaitan

Latest articles