Muhyiddin Kini Pilihan Kedua PAS Selepas Tun M

KUALA LUMPUR: Nampaknya PAS kini mula ‘memgabaikan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengemudi gabungan berkenaan.

Apatah lagi PAS kini dilihat semakin mesra dengan Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun sebelum ini bekas Perdana Menteri itu menjadi seteru politik parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ini dapat dilihat dengan beberapa tindakan PAS bersama Dr Mahathir sejak mutakhir ini, sekaligus meletakkan peranan Muhyiddin semakin berkurangan.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak boleh dipersalahkan kerana memilih untuk bersama Dr Mahathir, kata Salleh.

“Rekod prestasi politik Tun Dr Mahathir adalah jauh lebih baik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Awal September lalu, Abdul Hadi mengetuai sekumpulan pemimpin PAS bertemu Dr Mahathir bagi membincangkan tentang pembangunan ekonomi di negeri-negeri yang dikuasai parti itu.

Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan empat menteri besar iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Kelantan) dan Mohd Shukri Ramli (Perlis).

Bukan itu sahaja , pada 14 September lalu, Dr Mahathir diumumkan sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri di bawah Pas yang juga dikenali sebagai SG4.

Salleh memberitahu, pertemuan itu mengejutkan ramai pemerhati politik kerana tiada siapa menyangka Abdul Hadi mempunyai pandangan politik yang jauh.

Beliau menambah, adalah jelas Abdul Hadi mahu mengekalkan momentum gelombang hijau dan terus mengaut hasilnya.

“Abdul Hadi ingin mengekalkan apa yang diperoleh Pas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN),” jelasnya.

Dalam pada itu, Salleh tidak menolak pandangan Muhyiddin juga akan meneroka dan mempertimbangkan pilihan-pilihan politik lain ekoran perkembangan tersebut.

Ini kerana Muhyiddin juga percaya bahawa tiada musuh kekal dalam politik.

“Beliau masih lagi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Beliau perlu bergantung kepada dirinya sendiri untuk melindungi kepentingan politik dan cita-citanya,” jelasnya.

Salleh berpandangan perkembangan politik terkini itu mungkin dilihat oleh kumpulan pemikir dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai satu ancaman atau peluang.

BBerkaitan

Latest articles