Muhyiddin Jadi Liabiliti PN — Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjadi “liabiliti politik” kepada Perikatan Nasional (PN), sambil mempersoalkan niat sebenar bekas perdana menteri itu untuk kembali menerajui negara.

Dalam sesi The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata semakin ramai mula mempersoalkan sama ada hasrat Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi mempunyai motif tersembunyi.

“Ada orang bertanya, adakah beliau mahu jadi Perdana Menteri untuk menutup kes mahkamahnya? Atau kerana mahu memastikan menantu, cucu dan anaknya boleh kembali ke Malaysia?” katanya.

Wan Saiful menegaskan, persoalan seperti itu mencederakan imej PN yang selama ini mahu dikenali sebagai parti bersih dan stabil.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menjelaskan bahawa akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh 120 ketua bahagian Bersatu sebelum ini tidak bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden parti.

Sebaliknya, beliau berkata, SD tersebut hanya mahu memastikan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri tidak dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti.

“Lebih kurang dua minggu sebelum PAT, muncul ura-ura nak bawa usul calon PM. Kita tahu PAS tak setuju dan kita tak nak hubungan dengan mereka renggang.

“Tapi kem Azmin Ali ambil kesempatan, lalu memutar belit kononnya ia usaha nak jatuhkan Muhyiddin,” jelasnya.

Menurutnya, dakwaan itu akhirnya dipercayai sendiri oleh Muhyiddin sehingga membawa kepada tindakan disiplin terhadap beberapa ahli parti.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Wan Saiful, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung keahlian selama satu penggal, selepas kedua-duanya dikaitkan dengan isu SD tersebut.

Turut dipecat ialah empat ketua bahagian:
• Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya)
• Faizal Asmar (Pengerang)
• Fadhli Ismail (Ipoh Timur)
• Isa Saidi (Ampang)

Bagaimanapun, kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas kerana pemecatan parti tidak termasuk dalam peruntukan undang-undang anti-lompat parti.

Dalam nada sinis, Wan Saiful menyifatkan kemelut dalaman Bersatu berpunca daripada kehilangan arah kepimpinan, serta tindakan Muhyiddin yang terlalu percaya kepada kelompok tertentu dalam parti.

“Beliau perlu menilai semula siapa di sekelilingnya. Kalau tak, PN akan terus dilihat tidak stabil dan penuh konflik dalaman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles