KOTA BHARU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan hasrat agar semua calon gabungan itu menggunakan satu logo tunggal pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Beliau berkata penggunaan logo bersama bukan sahaja dapat menjimatkan kos kempen, malah memudahkan urusan logistik serta mengelakkan kekeliruan sekiranya calon PN tampil dengan lambang berbeza.
“Hajat kita, kalau boleh seluruh calon PN di semua negeri, termasuk di SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) bertanding menggunakan logo yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas, hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menjelaskan keputusan rasmi mengenai perkara itu masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.
Katanya, isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat tertinggi PN sebelum sebarang kata putus dibuat.
Menurutnya, PN tidak menjangkakan isu logo menjadi masalah besar berdasarkan pengalaman lalu, termasuk pada PRU-15 apabila Pas dibenarkan menggunakan lambang bulan di Kelantan dan Terengganu, manakala di Kedah dan Perlis, calon bertanding dengan logo PN.
“Cuma harapan saya, pilihan raya akan datang semua guna satu logo. Namun, ia tetap bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan,” jelasnya.