Muhyiddin Ditempelak Selepas Gesa PM Adakan Rundingan Dengan PN Untuk Bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengadakan rundingan bersama kepimpinan partinya sahaja dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyelar kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Ismail Sabri mengadakan rundingan bersama gabungan itu untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

“Dia ingatkan PM bahawa jika ingin bubar Parlimen, PM kena runding dengan dia (PN) dulu.

“Saya ingin tanya Muhyiddin, dia pakai undang-undang mana yang kata PM perlu rujuk kepada dia atau parti dia sebelum bubar Parlimen?

“Jika pun PM akan rujuk mana-mana parti, tentunya PM akan rujuk kepada partinya sendiri iaitu UMNO dan bukannya PPBM atau PN atau parti orang lain untuk bubar Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu mengingatkan Ismail Sabri bahawa PN perlu dibawa ke meja rundingan dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Menurut Muhyiddin, perkara dimaklumkannya kepada Ismail Sabri ketika program berbuka puasa dengan beberapa kepimpinan PN, semalam.

Turut hadir adalah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau.

Mengulas lanjut, Isham berkata Muhyiddin sememangnya ‘kaki pusing’ kerana sebenarnya Muhyiddin mahu mengajak Ismail Sabri untuk bekerjasama.

Malah sebelum ini juga ada laporan berita mengatakan Muhyiddin jumpa beberapa pihak lain untuk meminta sokongan menjadi PM semula.

”…maksudnya nak jatuhkan PM sekarang. Apa punya khianat. Bulan puasa pun gila kuasa,” ujarnya. 

BBerkaitan

Latest articles