Muhyiddin: Di Kala Palestin Bermandi Darah, Malaysia Pula Gah Sambut Trump

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan kerajaan menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia ketika rakyat Palestin sedang bergelut dengan peperangan dan kebuluran di Gaza.

“Jangan ketika rakyat Palestin bermandi darah dan kebuluran di bumi Gaza, Trump disambut dengan gah dan gilang gemilang di bumi Malaysia,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, Malaysia sepatutnya kekal tegas dalam menolak sebarang bentuk hubungan dengan Israel serta negara sekutunya, termasuk AS yang disifatkan “bersekongkol dalam jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.”

Muhyiddin turut mengumumkan pendirian PN menentang keras kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 minggu ini, yang menurutnya bukan sekadar isu diplomatik tetapi juga soal maruah dan prinsip kemanusiaan.

“Bantahan ini bukan untuk kepentingan politik, tetapi mewakili suara rakyat Malaysia yang marah dan kecewa dengan tindakan AS menyokong rejim Zionis,” ujarnya.

Trump sebelum ini mengesahkan kehadirannya ke mesyuarat ASEAN yang bermula Ahad ini, meskipun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mempertahankan jemputan itu dengan alasan Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan menggunakan platform diplomasi tersebut bagi menyuarakan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles