Muhyiddin Dedah Gerakan Kumpul Tandatangan Untuk Singkirkannya

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui wujud gerakan mengutip tandatangan untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan nombor satu parti itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu dan boleh mencetuskan precedent buruk kerana mana-mana pemimpin lain juga boleh dijatuhkan dengan cara yang sama.

“Bersatu ada peraturan dan Perlembagaan sendiri. Kalau benar cintakan parti, patuhilah aturan ini supaya kita bergerak secara tertib dan harmoni,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, malam tadi.

Muhyiddin mengingatkan ahli agar tidak terjebak dengan adu domba yang boleh meretakkan perpaduan dalaman, sebaliknya menumpukan perhatian untuk memperkukuh Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Berdasarkan sentimen rakyat, Bersatu dan PN berada pada landasan terbaik untuk memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan. Jadi hentikanlah sengketa. Jangan jadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai,” ujarnya.

Menurut bekas perdana menteri itu, kunci utama kelangsungan parti adalah perpaduan. Katanya, banyak parti politik yang dahulu gah kini rebah kerana berpecah.

“Jika kita benar-benar memahami makna perjuangan, timbul rasa cinta pada parti, maka kita tidak akan melakukan perkara yang merosakkan. Jangan jadi batu api atau ‘batu ronson’ yang melaga-lagakan sesama sendiri,” katanya.

Muhyiddin turut menekankan bahawa setiap ahli mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, namun jika digabungkan secara kolektif, Bersatu mampu menjadi lebih kukuh.

BBerkaitan

Latest articles